MALAYSIA

Lelaki ditahan cederakan jiran guna pemegang gitar di Pandan Indah

Kabeer Aziz 04/07/2025 | 02:05 MYT
Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada masalah gangguan bunyi melibatkan alat muzik yang sering dimainkan suspek. - Gambar hiasan
AMPANG JAYA: Seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun ditahan polis selepas disyaki mencederakan jirannya menggunakan sebatang pemegang gitar dalam kejadian di sebuah bilik sewa di Pandan Indah di sini, pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd Azam Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi ketika mangsa, seorang lelaki berusia 52 tahun yang bekerja sebagai tukang masak, sedang tidur di bilik sewanya.

“Mangsa terjaga selepas terdengar bunyi hempasan pintu bilik air. Tidak berpuas hati dengan gangguan tersebut, mangsa keluar dari bilik dan membalas dengan menghempas pintu berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pertelingkahan itu membawa kepada serangan fizikal apabila suspek yang juga jiran mangsa bertindak keluar membawa batang besi dipercayai pemegang gitar sebelum memukul mangsa. Suspek turut mengugut akan membawa rakannya untuk menyerang mangsa.

Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan membuat laporan polis pada hari sama.

Susulan laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya berjaya menahan suspek kira-kira jam 4.45 petang pada 2 Julai di sekitar Pandan Indah.

“Turut dirampas, sebatang pemegang gitar berwarna hitam yang dipercayai digunakan dalam kejadian,” katanya.

Hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan semakan lanjut turut mengesahkan suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada masalah gangguan bunyi melibatkan alat muzik yang sering dimainkan suspek. Difahamkan, kedua-dua pihak sudah beberapa kali bertengkar sebelum ini.

Suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas rakaman percakapan diambil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Jika disabit kesalahan, Seksyen 324 memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, manakala Seksyen 506 memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.







#cedera jiran #pemegang gitar #Mohd Azam Ismail #bertengkar