Lelaki ditahan ganggu, tarik mikrofon penceramah ketika kuliah subuh

Sinar Harian
Ogos 9, 2022 22:00 MYT
Suspek yang bekerja sebagai penjaga stor berjaya diberkas pada Isnin kira-kira jam 7 malam di sekitar Ampang. -Gambar hiasan
AMPANG: Tindakan seorang lelaki yang menarik mikrofon daripada seorang penceramah dan menjerit mendakwa ceramah yang disampaikan terlalu bising dan mengganggunya membawa padah apabila suspek ditahan, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian jam 7.06 pagi di sebuah surau di Ampang Campuran pada Ahad itu berlaku ketika kuliah subuh.
"Ketika kejadian, suspek menuju ke arah penceramah lalu menarik mikrofon dan menjerit menyatakan kuliah tersebut terlalu bising dan mengganggunya.
"Tindakan suspek tidak beradab dan telah mengganggu tempat ibadah dan jemaah surau yang lain," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya, tindakan suspek kemudiannya dihalang jemaah surau yang lain.
"Jemaah surau meminta suspek meninggalkan surau tersebut dengan cara baik," katanya.
Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai penjaga stor berjaya diberkas pada Isnin kira-kira jam 7 malam di sekitar Ampang.
"Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan ugutan jenayah," katanya.
Tambahnya, suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan. -Sinar Harian
#ganggu kuliah subuh #tarik mikrofon daripada penceramah #ceramah didakwa terlalu bising #surau di Ampang Campuran