KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mengambil video tidak sopan ketika persembahan artis wanita dalam acara di sebuah pusat beli-belah di Bukit Jalil, Cheras pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, tangkapan ke atas suspek dijalankan susulan pihaknya menerima tiga laporan susulan kejadian berkenaan.

"Siasatan mendapati kejadian kira-kira jam 9 malam itu berlaku ketika mangsa dimaklumkan orang awam berkaitan suspek yang bertindak merakam video tidak sopan dari bawah pentas.

"Suspek kemudiannya berjaya diberkas rakan mangsa serta beberapa individu lain di dalam pasar raya di pusat beli -belah berkenaan selepas kejadian," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, susulan kejadian, suspek yang merupakan lelaki tempatan berumur 33 tahun itu ditahan anggota Pencegahan Jenayah Balai Polis Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

"Suspek ditahan kira-kira jam 11.15 malam untuk siasatan lanjut berhubung kejadian.

"Suspek kini direman tiga hari untuk siasatan lanjut berhubung kejadian," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Pada Sabtu, tular video memaparkan orang awam menangkap seorang lelaki yang dipercayai merakam secara tidak sopan ketika persembahan diadakan di sebuah pusat beli-belah di sini. - Sinar Harian