KOTA BHARU: Lelaki yang maut ditembak selepas menyerang anggota polis dalam kejadian di Kampung Joh, Labok, Machang, Isnin lepas disahkan mempunyai 11 rekod kesalahan jenayah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, lelaki itu turut dikehendaki polis membabitkan tiga kesalahan jenayah iaitu pecah rumah di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK), khianat di bawah Seksyen 427 KK dan kesalahan di bawah akta keganasan rumahtangga.

Menurut beliau, lelaki berusia 33 tahun itu menaiki kereta bersama seorang rakan berjaya ditahan selepas polis mengejar mereka sehingga di lokasi kejadian.

"Rakan si mati yang ditahan polis merupakan penjawat awam dan direman dari 24 hingga 30 September untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Rabu.

Jelas Muhamad Zaki, pemeriksaan di dalam kereta yang dinaiki dua lelaki itu menemui satu kad pengenalan milik salah seorang mangsa samun di Klang, Selangor yang dipercayai dilakukan suspek.

"Pemeriksaan urin juga mendapati si mati dan rakan positif methamphetamin," katanya.

Media pada Isnin melaporkan seorang lelaki berusia 33 tahun maut ditembak selepas menyerang anggota polis dengan senjata tajam dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi di Kampung Joh, Labok, Machang.

Pemeriksaan dalam kenderaan suspek menemui peralatan mencuri lembu termasuk tali, picagari yang mengandungi cecair dipercayai ubat pelali, sebilah parang, pisau, pengasah dan dokumen pengenalan diri milik seorang lelaki beralamat di Sungai Besar, Selangor.

Seorang rakan suspek iaitu lelaki berumur 43 ditahan di lokasi sama.

Sementara itu, Muhamad Zaki berkata, polis merampas tiga kotak ubat pelali yang mana dua masih belum digunakan dalam kenderaan suspek.

"Dipercayai ada lokasi yang dirancang mereka selepas ini," katanya.

Beliau berkata, menjadi satu trend penjenayah menggunakan pelali sehingga melebihi dos dan menyumpit dengan batang PVC untuk mencuri lembu.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai terutama pemilik lembu yang curiga dengan kehadiran individu tertentu di kawasan penternakan supaya menghubungi polis bagi mencegah kecurian. - Sinar Harian