Lelaki ditemui mati dalam kereta mewah

Sinar Harian
Mei 30, 2022 22:45 MYT
Seorang lelaki ditemui mati di tempat duduk pemandu sebuah kereta mewah jenis McLaren. -Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemui mati di tempat duduk pemandu sebuah kereta mewah jenis McLaren yang diparkir di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Gelang Off Jalan Sungai Besi di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam melaporkan kejadian tersebut pada jam 6.42 petang.
"Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati satu mayat lelaki warga tempatan berusia 28 tahun beralamat di Klang, Selangor.
"Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang ke tempat kejadian mengesahkan tiada sebarang kecederaan pada badan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Noor Dellhan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sementara siasatan dijalankan.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan pada Isnin mengesahkan menerima panggilan kecemasan pada jam 6.03 petang.
Sebuah jentera bersama pegawai dan anggota dari Balai Bomba Pudu yang dikerahkan ke lokasi kejadian berjaya mengeluarkan mangsa dari kereta tersebut yang berada dalam keadaan berkunci.
*Berita asal di Sinar Harian
#McLaren #lelaki ditemui mati dalam kereta mewah #Noor Dellhan Yahaya #pusat hiburan