Lelaki ditemukan mati dalam bilik hotel di Kajang, dipercayai dibunuh

Bernama
Ogos 28, 2018 15:52 MYT
Siasatan awal mendapati mangsa yang ketika itu tidak sedarkan diri telah dibawa oleh dua lelaki ke hotel berkenaan kira-kira pukul 3.20 pagi Isnin. - Gambar hiasan
Mayat seorang lelaki dengan kesan lebam di muka dan badan disyaki dibunuh, ditemukan di sebuah hotel di Sungai Chua, Kajang dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata lelaki berusia 25 tahun itu dijumpai terbaring di dalam sebuah bilik oleh pekerja hotel yang membuat pemeriksaan pada pukul 8 pagi tadi.
"Tiada kesan luka ditemui pada badan mangsa dan siasatan di lokasi kejadian juga tidak menjumpai senjata yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa yang ketika itu tidak sedarkan diri telah dibawa oleh dua lelaki ke hotel berkenaan kira-kira pukul 3.20 pagi Isnin.
"Dua lelaki itu mendakwa mangsa mabuk dan mereka meninggalkan hotel pukul 8 pagi semalam (hari yang sama).
Siasatan mendapati mangsa tidak mempunyai rekod jenayah atau rekod dikehendaki polis," katanya.
Ahmad Dzaffir berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana melibatkan kes bunuh.
-- BERNAMA
#bunuh #Hospital #hotel #jenayah #Kajang #mangsa #mati #mayat #polis #siasatan