MALAYSIA

Lelaki gagal larikan rantai emas berharga RM30,000

Bernama 27/12/2025 | 06:15 MYT
Cubaan lelaki itu gagal apabila dia berjaya ditahan oleh seorang pelanggan di sebuah kedai emas di Paka. - Gambar hiasan
DUNGUN: Tindakan seorang lelaki disyaki cuba melarikan seutas rantai emas bernilai kira-kira RM30,000 gagal apabila dia berjaya ditahan oleh seorang pelanggan di sebuah kedai emas di Paka dekat sini pada Khamis lepas.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki disyaki cuba mencuri rantai emas RM30,000 di kedai emas Paka tetapi ditangkap pelanggan sebelum berjaya melarikan diri.
  • Suspek berusia 33 tahun tersebut menggunakan kopiah dan pelitup muka semasa cuba mencuri, tetapi gagal melarikan diri apabila pintu kedai automatik dikunci.
  • Polis mendapati suspek menggunakan kereta dengan nombor pendaftaran palsu; kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.


Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir berkata suspek berusia 33 tahun itu ditahan di lokasi kejadian kira-kira 12.20 tengah hari.

"Suspek yang memakai kopiah dan pelitup muka itu masuk ke kedai emas berkenaan sambil berpura-pura untuk membeli. Kemudian lelaki itu meminta pekerja kedai berkenaan mengambil seutas rantai emas sebelum bertindak melarikan diri.

"Suspek bagaimanapun gagal melarikan diri selepas pintu automatik kedai itu berjaya dikunci pekerja kedai terbabit dan seorang daripada pelanggan secara pantas bertindak menangkap suspek," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Maizura berkata hasil siasatan polis mendapati suspek menggunakan sebuah kereta yang didaftarkan atas nama bapa saudaranya dengan nombor pendaftaran palsu.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, rakaman video kamera litar tertutup mengenai kejadian berkenaan tular di aplikasi Facebook.

-- BERNAMA


#larikan rantai emas #Lelaki ditahan #Paka Terengganu #kedai emas