NATIONAL

Lelaki Jerman rugi lebih RM3 juta diperdaya 'pegawai' LHDN, BNM

Sinar Harian 16/04/2025 | 10:10 MYT
Seorang lelaki warga emas warga Jerman kerugian lebih RM3 juta selepas terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai pegawai LHDN dan BNM. -Gambar hiasan
SEPANG: Seorang lelaki warga emas warga Jerman kerugian lebih RM3 juta selepas terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Ringkasan AI
  • Seorang lelaki warga Jerman kerugian lebih RM3 juta selepas terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai pegawai LHDN dan BNM.
  • Mangsa membuat laporan polis setelah menyedari dirinya ditipu dalam urus niaga melibatkan pembukaan akaun bank dan pembayaran cukai palsu.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, dan orang ramai diingatkan agar berhati-hati dengan emel atau panggilan mencurigakan.

Mangsa berusia 69 tahun itu dipercayai menjadi mangsa sindiket ‘phone scam’ yang menyasarkan warga asing dengan modus operandi licik, menggunakan emel serta dokumentasi rasmi palsu bagi memperdayakan mangsa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa telah membuat laporan polis di daerah Sepang setelah menyedari dirinya ditipu dalam urus niaga melibatkan pembukaan akaun bank dan pembayaran cukai palsu.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa dihubungi menerusi emel dan diminta membuka satu akaun di Malaysia dengan alasan wang akan dimasukkan ke dalam akaun tersebut.
"Bagi mendapatkan wang itu, mangsa diminta membuat pembayaran cukai kononnya kepada LHDN dan BNM, mangsa percaya dengan helah tersebut selepas ditunjukkan dokumen rasmi oleh suspek," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Katanya, mangsa dipercayai telah membuat sebanyak 25 transaksi ke dalam akaun sebuah bank melibatkan RM3,089,800.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
"Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terperdaya dengan sebarang emel atau panggilan mencurigakan yang mendakwa daripada agensi kerajaan atau institusi kewangan," katanya. -Sinar Harian
#warga jerman #penipuan dalam talian #warga emas #RM3 juta #pegawai LHDN BNM