Lelaki keluar mendaki ketika PKP ditemui meninggal dunia

Dewi Nur Harasha Alias
Mac 29, 2020 08:38 MYT
Mayat dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat untuk mengetahui punca kematian. - Foto ihsan: JBPM
Seorang lelaki yang keluar mendaki di Bukit Cherok Tokun di Bukit Mertajam semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 21 Mac lalu ditemui telah meninggal dunia pada pagi Ahad.
Mayat Teng Ching Hiang, 58, ditemukan di laluan mendaki di bukit tersebut oleh sepasukan penyelamat yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sukarelawan kira-kira jam 10 pagi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Mohd Mustafa Bidin berkata, operasi pencarian bermula jam 9.30 pagi setelah polis menerima laporan dari rakannya pada 26 Mac lalu.
Mohd Mustafa berkata, pada pagi 21 Mac lalu, mangsa memberitahu rakannya bahawa dia ingin mendaki di Bukit Cherok Tokun seorang diri.
Bagaimanapun rakannya telah menasihati mangsa agar membatalkan hasratnya itu memandangkan PKP telah dijalankan.
Namun mangsa dikatakan enggan mendengar nasihatnya.
Berikutan itu rakannya itu telah ke rumah mangsa di Taman Sentosa keesokan hari nya dan mendapati rumah mangsa dalam keadaan berkunci.
Beliau kemudiannya cuba menghubungi mangsa melalui telefon bimbit tetapi gagal kerana talian telefon tidak aktif.
Susulan itu dia membuat laporan polis pada 26 Mac lalu dan polis telah menghubungi keluarga dan rakan mangsa lain untuk pengesahan.
Mohd Mustafa berkata, operasi mencari dan menyelamat dilakukan dan hasilnya mayat mangsa ditemui pagi tadi dan pemeriksaan fizikal ke atas mayat mangsa mendapati tiada unsur jenayah.
Mayat dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat untuk mengetahui punca kematian.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Dalam pada itu, Mohd Mustafa menasihatkan orang ramai agar mematuhi PKP dan jangan sesekali melakukan aktiviti riadah seperti mendaki bukit, bersukan (outdoor) atau sengaja merayau-raya tanpa tujuan dalam tempoh PKP ini.
#Angkatan Tentera Malaysia #bomba #Bukit Cherok Tokun #Bukit Mertajam #JBPM #meninggal dunia #PDRM #pendaki ditemui mati #perintah kawalan pergerakan #PKP #polis #Polis Daerah Seberang Perai Tengah #Taman Sentosa #Teng Ching Hiang