Lelaki kena penjara 12 tahun, 10 sebatan rogol anak saudara 14 tahun

Nur Fazlizai Ali
Oktober 26, 2021 09:51 MYT
Tertuduh (tengah) yang berusia 49 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merogol anak saudaranya yang berusia 14 tahun pada September lalu.
Tertuduh yang berusia 49 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Kuala Terengganu kira-kira jam 4 pagi pada hujung September lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan (KK), yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan dikenakan tidak kurang 10 sebatan.
Mahkamah mengarahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 20 Oktober lalu.
Selain itu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa di lokasi, masa dan tarikh sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377b KK, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 29 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
#rogol anak saudara #Kuala Terengganu #penjara #sebatan