Skip to main content

Malaysia

Lelaki larikan Honda Civic ketika uji pandu diburu polis

71718803228_LogoPDRM.jpg
Polis memberitahu, seorang suspek lelaki warga tempatan telah menghubungi mangsa dan menyatakan minat untuk membeli kenderaan berkenaan.
Advertisement

SHAH ALAM: Seorang lelaki berputih mata selepas kereta Honda Civic yang mahu dijualnya dilarikan ketika berurusan di sebuah kedai menjual kereta terpakai di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, semalam. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Sarudin Samah berkata dalam kejadian itu suspek lelaki warga tempatan menghubungi mangsa dan menyatakan minat untuk membeli kenderaan berkenaan, dan telah hadir ke premis terbabit pada kira-kira 8.30 malam. 

“Suspek kemudiannya meminta daripada pengadu untuk cuba pandu kereta tersebut, dengan alasan berminat membelinya dengan bayaran tunai sebanyak RM30,000.

“Pada mulanya mangsa enggan membenarkan suspek untuk mencuba pandu uji kereta, tetapi suspek telah memberitahu akan membeli serta terus tukar hak milik sekiranya berpuas hati dengan kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Sarudin berkata pihaknya kini sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan. 

Beliau turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Md Anuar Md Amilah menerusi talian 019-2255 597.

-- BERNAMA  

 

Must Watch Video

Advertisement