Lelaki lemas ketika mandi di Sungai Dungun ditemui

Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
Februari 19, 2022 04:22 MYT
Mangsa ditemui pada jam 9.25 pagi dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk urusan pengecaman. - Foto Astro AWANI
DUNGUN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Dungun ditemukan lemas selepas 16 jam operasi mencari dan menyelamat mangsa dijalankan.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Dungun Shahrizal Shamsudin berkata, mangsa Ahmad Solihin Ishak, 22 tahun, ditemui pada jarak kira-kira 700 meter (m) dari lokasi terakhir dia dilihat.
Menurut Shahrizal, mayat mangsa ditemui tersangkut di kawasan saluran penyedut pasir.
"Mangsa telah dijumpai oleh orang awam yang mengikuti pencarian ini menggunakan bot. Mangsa dijumpai dalam anggaran 700m, dekat dengan penyedut pasir.
"Masa dijumpai pada jam 9.25 pagi dan kita telah serahkan kepada pihak polis pada pukul 10 pagi untuk pengecaman mangsa," katanya.
Terdahulu, seorang lelaki dilaporkan dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai itu, berhampiran Kampung Rajawali di sini.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Jumaat itu, Ahmad Solihin sempat memberitahu keluarganya hendak pergi ke sungai.
Menurut Baharudin, operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan selepas pihak polis menerima laporan kehilangan mangsa pada jam 8 malam.
#Lelaki lemas #Sungai Dungun #mandi sungai #BBP Dungun