Lelaki lemas selepas terjun ke laut semasa operasi polis

Bernama
November 11, 2018 12:15 MYT
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Alor Setar membawa naik mangsa lemas di pelantar siput Kampung Sebatang Pinang hari ini. - Foto BERNAMA
Seorang lelaki ditemukan lemas selepas terjun ke laut semasa cuba melarikan diri daripada serbuan polis di pelantar siput Kampung Sebatang Pinang dekat sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Firdaus Isa berkata mangsa berumur 34 tahun itu ditemui kira-kira sembilan meter di dasar laut oleh pasukan penyelamat.
"Kita terima panggilan pada 11.29 pagi berhubung seorang lelaki dipercayai lemas berhampiran pelantar itu. Operasi mencari serta menyelamat dilakukan dan akhirnya mangsa ditemukan pada 4.25 petang kira-kira 30 meter dari tempat dia dipercayai terjun.
"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata satu operasi memerangi aktiviti dadah di sekitar kawasan berkenaan sedang dijalankan sewaktu insiden tersebut berlaku.
-- BERNAMA
#bomba #Hospital Sultanah Bahiyah #Kampung Sebatang Pinang #Kota Setar #lemas #pelantar siput