PETALING JAYA: Seorang lelaki diberkas selepas cuba melarikan diri daripada ditahan anggota kereta peronda polis (MPV) kerana memandu melawan arus di Lebuhraya Persekutuan di sini awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, anggota MPV yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah telah terkesan Perodua Axia dinaiki lelaki dipandu secara berbahaya sekitar jam 5.50 pagi.

Menurutnya, lelaki itu enggan bekerjasama bertindak memecut laju untuk meloloskan diri namun berjaya diberkas tidak lama kemudian di sekitar Jalan Klang Lama di sini.

"Polis telah mengarahkan pemandu kereta tersebut berhenti namun dia enggan memberikan kerjasama dan terus melarikan diri menghala ke susur masuk ke Lebuhraya Pantai Baru (NPE).

"Hasil ujian pernafasan Evidential Breath Analyzer (EBA-II) mendapati suspek berada di bawah pengaruh alkohol melebihi daripada had yang ditetapkan semasa memandu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Fakhrudin berkata, suspek merupakan lelaki tempatan berusia 22 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 42 (1) dan Seksyen 45 (a) 1 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Tiada sebarang kecederaan dan kemalangan dilaporkan melibatkan kes ini.

"Saksi kejadian atau sesiapa yang mempunyai rakaman 'dashcam' berkaitan kejadian diminta supaya tampil ke IPD Petaling Jaya atau berhubung terus dengan Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Mohd Sahidun Saiban di talian 011-333 40775," ujarnya.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.