MALAYSIA
Lelaki mati ditikam selepas gaduh dengan rakan sekerja
Siasatan awal polis mendapati mangsa bersama suspek yang merupakan lelaki warga Myanmar telah minum minuman keras di lokasi kejadian iaitu di sebuah kedai besi buruk di Kampung Batu, Kuala Lumpur. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun ditemui mati dengan kesan kecederaan di beberapa bahagian badan di sebuah kedai besi buruk di Jalan 1/18B, Kampung Batu, Off Jalan Ipoh, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 11.33 malam selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi MERS 999.
Menurutnya, pemilik kedai memaklumkan, berlaku pertengkaran antara pekerja di premis berkenaan.
“Siasatan awal mendapati, mangsa bersama suspek yang merupakan lelaki warga Myanmar telah minum minuman keras di lokasi kejadian.
"Kedua-duanya dikatakan dalam keadaan mabuk sebelum berlaku pergaduhan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, siasatan di lokasi mendapati mangsa tidak berbaju dan memegang sebilah parang di tangan kiri.
Pemeriksaan turut menemui kesan kecederaan pada bahu kanan, kepala bahagian kiri, leher, dagu kiri serta kesan luka berbentuk lubang pada bahu mangsa.
Pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bersama Unit K9 Bukit Aman serta paramedik Hospital Kuala Lumpur yang hadir ke lokasi mengesahkan kematian mangsa di tempat kejadian.
“Suspek melarikan diri sejurus selepas kejadian dan usaha mengesan suspek sedang dipergiatkan,” kata Ahmad Sukarno.
Tambahnya, seorang lagi pekerja warga Bangladesh yang berada di rumah pekerja berhampiran tidak menyaksikan kejadian yang berlaku di luar rumah.
"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan juga sedang diusahakan bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," ujarnya.