Lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik peti pencawang

Bernama
Mei 7, 2021 01:31 MYT
Mayat telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut dan kes disiasat sebagai Laporan Mati Mengejut. - Astro AWANI
KUCHING: Seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik peti pencawang Sarawak Energy Berhad (SEB) di tepi jalan Kampung Muara Tebas di sini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani yang dihubungi hari ini berkata kejadian berlaku pada 10.51 malam dan sepasukan polis telah pergi ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan bersama-sama pasukan Bomba dan Penyelamat serta wakil SEB.
"Siasatan di tempat kejadian mendapati mayat lelaki itu berada di dalam peti pencawang elektrik dan telah meninggal dunia. Mayat telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut dan kes disiasat sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR)," katanya.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memaklumkan mayat mangsa ditemukan orang awam yang bertindak menghubungi talian kecemasan.
-- BERNAMA
#maut #renjatan elektrik #peti pencawang #SEB #Awang Din Awang Gani