[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Lelaki maut berbalas tembakan dengan polis di Dengkil

Afiezy Azaman 24/11/2025 | 21:45 MYT
Suspek, yang dipercayai warga tempatan, meninggal dunia dan polis menjumpai pistol Colt 45, peluru Kynoch, serta dadah dalam kereta suspek. - Foto PDRM
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut dalam insiden berbalas tembakan dengan polis di tepi jalan berhampiran Batu 8, Jalan Banting–Dengkil, Selangor, Isnin malam.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki maut dalam insiden berbalas tembakan dengan polis di tepi jalan berhampiran Batu 8, Jalan BantingDengkil, Selangor, Isnin malam.
  • Polis menjalankan operasi membanteras jenayah samun di kawasan Banting, Dengkil dan Sepang ketika berlaku kejadian tersebut.
  • Suspek, yang dipercayai warga tempatan, meninggal dunia dan polis menjumpai pistol Colt 45, peluru Kynoch, serta dadah dalam kereta suspek.


Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar Muthuvelu, kejadian berlaku sekitar jam 8.10 malam ketika sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) menjalankan operasi membanteras jenayah samun di kawasan Banting, Dengkil dan Sepang.

"Ketika pasukan operasi terserempak dengan sebuah Perodua Myvi berwarna perak dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Cubaan untuk menahan kenderaan tersebut berakhir apabila suspek melepaskan tembakan dari dalam kereta ke arah anggota polis.

"Polis kemudian membalas tembakan sehingga ancaman berjaya dilumpuhkan," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Beliau berkata, suspek disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi.

"Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan mendapati tiada sebarang pengenalan diri pada suspek yang dipercayai warga tempatan.

"Polis turut menemukan sepucuk pistol jenis Colt 45, tiga butir peluru Kynoch kaliber 45 serta tujuh paket lut sinar berisi serbuk kristal disyaki dadah," ujarnya.

PDRM memaklumkan siasatan lanjut masih diteruskan.






#lelaki maut #insiden berbalas tembakan #Dadah #jenayah samun