Lelaki maut bilik tidur terbakar

Sinar Harian
November 3, 2018 05:13 MYT
Ketika anggota bomba tiba di lokasi mendapati berlaku kebakaran dalam bilik tidur utama rumah berkenaan. - Foto Sinar Harian
Seorang lelaki maut dalam kebakaran sebuah rumah di perumahan Pandan Indah di sini, malam tadi.
Mayat mangsa berusia dalam lingkungan 30-an ditemui dalam keadaan terbaring dengan muka tertutup bantal.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul, berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.12 malam sebelum ke lokasi kejadian.
Menurutnya, ketika anggota tiba di lokasi mendapati berlaku kebakaran dalam bilik tidur utama rumah berkenaan.
“Anggota berjaya memadam kebakaran daripada terus merebak.
“Kami dimaklumkan ada mangsa di dalam bilik tersebut dan hasil pemeriksaan lanjut, lelaki itu berjaya ditemui namun sudah meninggal dunia," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat.
#bomba #Hospital #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #kebakaran #Malaysia #mangsa #maut #mayat #meninggal dunia #Pahang #polis #terbakar