Lelaki maut dengan 10 tikaman di Batu Kawan

Dewi Nur Harasha Alias
Jun 13, 2023 22:15 MYT
Siasatan lanjut masih lagi dijalankan bagi mengesan suspek yang terlibat dengan kejadian berkenaan. - Gambar hiasan
BATU KAWAN: Seorang lelaki ditemui mati dengan 10 kesan tikaman di tubuhnya dalam kejadian di Central Island Park Aspen, Batu Kawan pada Selasa.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata pihak polis menerima panggilan daripada orang awam yang menemui lelaki berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 9.20 pagi.
Sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Seberang Perai Selatan, Forensik Unit Anjing pengesan (K9) dan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebaik menerima laporan kes berkenaan.
"Sebaik tiba pihak polis menemui mayat lelaki lengkap berpakaian t-shirt merah dan seluar Jeans berlumuran darah dipercayai warganegara asing.
"Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa telah ditikam dengan 10 kali tikaman," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih lagi dijalankan bagi mengesan suspek yang terlibat dengan kejadian berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Kesiksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi balai polis terdekat atau menghubungi talian Ibu Pejabat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di talian 04-5858222.
#tikaman #Central Island Park Aspen #warga asing #Khaw Kok Chin