SIK: Seorang lelaki meninggal dunia selepas dipercayai ditimpa dahan pokok terap yang patah ketika menebangnya bersama sepupu di Kampung Lubuk Besar Hujung Bandar, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, mangsa Othman Kasim, 47, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

“Kejadian dipercayai berlaku jam 6 petang dimana, ketika itu mangsa bersama sepupunya berusia 42 tahun sedang menarik batang pokok yang telah ditebang, tiba-tiba dahannya patah lalu menimpa kepala mangsa.

"Mangsa rebah dan tidak sedarkan diri sebelum penduduk kampung menghubung ambulans untuk bantuan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Abdull Razak berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

Mayat kemudian dihantar ke Hospital Sik untuk bedah siasat.

Katanya, tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.