Lelaki maut ditembak, lima cedera ketika makan di Jalan Ipoh

Bernama
Mei 10, 2014 03:41 MYT
Lelaki maut ditembak, lima cedera ketika makan di Jalan Ipoh
Seorang lelaki maut manakala lima rakannya cedera selepas ditembak dari jarak dekat di Jalan Ipoh di sini awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan berkata dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi tadi, keenam-enam lelaki tersebut sedang makan di sebuah restoran sebelum dihampiri seorang lelaki menaiki Perodua Myvi.
"Suspek kemudiannya melepaskan tujuh das tembakan ke arah semua mangsa menggunakan pistol jenis semi-auto sebelum melarikan diri menaiki kereta tersebut yang dipandu seorang lagi suspek.
"Setakat ini, jumlah suspek yang berada di dalam kereta itu tidak dapat dipastikan," katanya kepada pemberita hari ini.
Katanya, keenam-enam mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) namun seorang daripada mangsa berumur 38 tahun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di HKL manakala lima lagi dimasukkan ke unit kecemasan HKL.
Kesemua mangsa berusia antara 22 hingga 51 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian tangan, kaki, bahu dan pipi.
Polis turut menjumpai tujuh kelongsong peluru dipercayai daripada pistol yang digunakan oleh suspek dan motif kejadian itu masih disiasat.
Zakaria berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi membunuh.
#Jalan Ipoh #jenayah