Lelaki maut ditetak bertubi-tubi, tangan dan kaki putus

Orang ramai memenuhi lokasi kejadian di Kampung Kok Bedollah, Tumpat. -Foto Sinar Harian
TUMPAT: Seorang bapa tunggal maut selepas dipercayai ditetak bertubi-tubi di beberapa bahagian badan sehingga menyebabkan tangan kiri dan kaki kanan putus dalam kejadian di Kampung Kok Bedollah di sini pada Jumaat.
Ringkasan AI
- Bapa tunggal, Mohd Suhairi Hasim, maut selepas ditetak bertubi-tubi sehingga menyebabkan tangan kiri dan kaki kanan putus dalam kejadian di Kampung Kok Bedollah, Tumpat.
- Suspek yang juga sepupu mangsa dipercayai bertindak demikian kerana marah anaknya ditularkan, dan telah ditahan polis untuk permohonan reman.
- Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Kok Bedollah.
“Tiba-tiba saya terdengar teriakan kuat daripada Mohd Suhairi yang menyebut ‘ALLAH... ALLAH...’ lebih 20 kali.
“Saya terus bangun menuju ke tingkap dan bertanya, ‘Kamu bergaduh dengan siapa pula Hairi?’” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya pada Sabtu.
Menurut Wan Salma, Mohd Suhairi bagaimanapun tidak memberi respons, lalu dia segera ke tempat anaknya mencuci jengkaut yang terletak berhampiran rumah.
Kata warga emas itu, disebabkan keadaan gelap dan matanya rabun, dia telah memegang seorang lelaki yang disangkanya Mohd Suhairi sedang berdiri di hadapan jengkaut.
“Tiba-tiba lelaki itu yang merupakan anak saudara saya bersuara.
“Kata dia, ‘Aku buat anak kamu begini kerana dia telah tularkan anak aku.’ Kemudian dia terus berjalan pergi dan membawa bersama senjata seperti parang,” katanya.
Wan Salma memberitahu, disebabkan terlalu terkejut, dia hanya mampu melihat anak lelakinya itu terbujur kaku.
Ujarnya, darah memenuhi tubuh Mohd Suhairi yang dipercayai telah ditetak di beberapa bahagian badan sehingga terputus tangan kiri dan kaki kanan.
Kata beliau, anaknya juga ditetak di bahagian pipi, belakang serta bahu.
“Saya kemudian terus memanggil anak-anak lain yang kebetulan tinggal berhampiran untuk datang membantu.
“Mayat Mohd Suhairi kemudian dibawa ke Hospital Tumpat. Saya dimaklumkan bedah siasat akan dijalankan tengah hari ini,” katanya.
Menurutnya lagi, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Kok Bedollah.
Tambah Wan Salma, suspek yang juga sepupu kepada Mohd Suhairi telah ditangkap oleh pihak polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Beliau berkata, suspek yang berusia 40-an telah dibawa ke Mahkamah Pasir Mas untuk permohonan tahanan reman. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


