Lelaki maut ditikam bekas adik ipar di pagi raya

Shuhada Abdul Kadir
Mei 13, 2021 05:19 MYT
Suspek menikam mangsa selepas berlaku bergelut kerana mahu merebut dua anak perempuannya yang berada bersama bekas isterinya. - Gambar hiasan
MELAKA: Keceriaan sambutan Aidilfitri sebuah keluarga bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut ditikam bekas adik iparnya dalam kejadian di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini pagi tadi.
Kejadian sekitar pukul 7.30 pagi itu tercetus apabila suspek lelaki yang berusia 32 tahun datang ke rumah bekas keluarga mentuanya untuk mengambil dua anak perempuannya.
Dua anak perempuan suspek berada bersama bekas isterinya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, mangsa yang berusia 36 tahun dikatakan cuba menenangkan bekas abang iparnya sebelum suspek bertindak luar kawalan menikam mangsa menggunakan senjata pisau yang dibawa.
"Suspek telah datang ke rumah bekas isteri dalam keadaan marah dan mengamuk untuk mengambil dua anaknya berusia lapan dan 10 tahun sebelum mangsa cuba menenangkan lelaki itu.
"Kemudian berlaku pergelutan dan suspek bertindak menikam mangsa di bahagian rusuk kanan manakala beberapa ahli keluarga yang lain sempat melarikan diri," katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd Sukri, suspek yang datang menaiki kereta jenis Perodua Kancil itu berjaya melarikan diri dan motif kejadian juga disebabkan oleh perebutan anak.
"Buat masa ini punca kejadian kita sahkan kerana perebutan anak yang mana suspek telah bercerai dengan bekas isteri sejak Januari lalu lagi.
"Pihak polis juga sedang berusaha untuk mengesan suspek yang telah melarikan diri dan semakan juga mendapati dia mempunyai satu rekod kes lampau berkaitan dadah," kata Mohd Sukri lagi.
Mangsa disahkan maut selepas dihantar ke Hospital Melaka dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
#bekas adik ipar #bunuh #tikam #berebut anak #mengamuk #Kampung Berangan Enam #Umbai #Melaka