SEREMBAN: Seorang bekas akauntan maut selepas dipercayai ditikam isterinya dalam kejadian di sebuah rumah banglo di Rasah Kemayan, Seremban 2, di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.11 petang itu, mangsa Poh Seng Hiap, 55 tahun, yang sudah tidak lagi bekerja ditikam di bahagian dada dan pinggang menggunakan senjata tajam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pihaknya menerima maklumat tragedi itu daripada anak perempuan mangsa berusia 18 tahun yang juga saksi kejadian berkenaan.

“Kira-kira pukul 4.34 petang tadi, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban telah terima panggilan Mers 999 daripada anak si mati yang memaklumkan kejadian itu, dan suspek dipercayai adalah isteri mangsa.

“Kejadian berlaku di sebuah rumah banglo di Jalan RK 6/2, Rasah Kemayan Golf & Country Township, Seremban dan pemeriksaan awal pada tubuh si mati terdapat dua kesan tikaman di dada kiri dan pinggang kiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, mangsa dan isteri mempunyai empat orang anak yang mana ketika kejadian anak ketiga dan keempat merupakan saksi kejadian.

“Susulan laporan dan siasatan awal, pihak polis telah menahan isteri suspek yang juga berusia 55 tahun dan tidak bekerja di lokasi kejadian berkenaan.

“Rampasan sebilah senjata yang dipercayai digunakan juga telah dibuat ditempat kejadian,” tambahnya.

Jelasnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban untuk dibedah siasat esok selain permohonan terhadap suspek juga akan dilakukan esok.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif kejadian masih dalam siasatan.