MALAYSIA
Lelaki maut ditikam rakan serumah
Seorang lelaki maut dipercayai ditikam rakan serumahnya akibat pergaduhan di sebuah rumah di Kampung Kubu Gajah, Sungai Pelong, Sungai Buloh, semalam. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut dipercayai ditikam rakan serumahnya akibat pergaduhan di sebuah rumah di Kampung Kubu Gajah, Sungai Pelong, Sungai Buloh, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya yang tiba di rumah itu selepas menerima panggilan mengenai kejadian pada 11.26 malam mendapati mangsa yang berusia 33 tahun ditemukan terbaring dengan kesan tikaman di dada kiri.
Beliau berkata kematian mangsa disahkan petugas ambulans dari Hospital Sungai Buloh.
"Rakan serumah mangsa iaitu lelaki berusia 40 tahun kini direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Polis turut merampas pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Hafiz berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat manakala orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi hotline Balai Polis Sungai Pelong melalui talian 03-6038 3322 atau Insp Nurnazihah Norzilan 011-11499008.
-- BERNAMA