MALAYSIA
Lelaki maut kereta dinaiki bersama isteri, dua anak terlibat kemalangan
Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat mangsa. - Gambar/ JBPM
KEPALA BATAS: Seorang lelaki maut selepas kereta dinaiki bersama isteri dan dua anak terlibat kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 127.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat sini, pagi tadi.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki berusia 33 tahun maut dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Kilometer 127.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Kepala Batas, Pulau Pinang, pagi tadi.
- Isteri mangsa mengalami kecederaan tulang belakang manakala dua anak mereka cedera ringan; semua mangsa termasuk pemandu Proton Saga dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan.
- Operasi menyelamat dan pembersihan dijalankan oleh pasukan bomba, dan kes kini diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.51 pagi sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kepala Batas bergegas ke lokasi kejadian.
"Kemalangan melibatkan kereta jenis Proton Wira dan Proton Saga BLM. Terdapat lima mangsa iaitu tiga dewasa serta dua kanak-kanak, dan mereka telah dikeluarkan daripada kenderaan oleh orang awam sebelum bomba tiba," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata pemandu Proton Wira berumur 33 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan, manakala isteri lelaki itu mengalami kecederaan tulang belakang, dan sepasang anak mereka, masing-masing berusia enam dan lapan tahun cedera ringan.
John berkata semua mangsa yang cedera, termasuk lelaki berumur 35 tahun yang memandu Proton Saga tahun, dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut, dan mayat mangsa turut dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat.
"Pasukan bomba kemudiannya menjalankan kerja-kerja pembersihan bagi memastikan tiada risiko keberbahayaan yang lain, dan ia ditamatkan pada 8.39 pagi, seterusnya kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
-- BERNAMA