Lelaki maut kereta rempuh tembok tol

Sinar Harian
Jun 3, 2022 22:45 MYT
Keadaan kereta yang dipandu mangsa selepas merempuh tembok konkrit plaza tol di kilometer (km) 30.3 Lebuhraya Damansara-Puchong pada Jumaat. - Foto JBPM
PUCHONG: Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya merempuh tembok konkrit di sebuah plaza tol di kilometer (km) 30.3 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) di sini pada Jumaat.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, sebuah jentera bersama anggota serta pegawai dari Balai Bomba Puchong dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 3.57 petang.
“Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton yang melanggar batu pembahagi plaza tol.
“Kemalangan itu mengakibatkan seorang lelaki, Sim Keng Siang, 51, tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk urusan lanjut.
*Berita asal di Sinar Harian
#rempuh tembok konkrit plaza tol #LDP #Sim Keng Siang #Hafisham Mohd Noor