LAHAD DATU: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas merempuh tiang lampu dan pembahagi jalan sebelum bertembung dengan sebuah lori di kilometer 2, Jalan Lahad Datu-Tawau, di sini, pagi Ahad.

Dalam kejadian jam 4.45 pagi itu, mangsa berusia 28 tahun disahkan maut di lokasi kejadian selepas tersepit dan mengalami kecederaan serius.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, siasatan awal, mangsa yang memandu Proton Wira bergerak dari Lahad Datu menuju ke Tawau.

Bagaimanapun katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan sehingga menyebabkannya merempuh tiang lampu dan pembahagi jalan.

“Kenderaan mangsa terus terbabas ke jalan bersebelahan dan bertembung dengan sebuah lori dinaiki tiga lelaki berusia 28 hingga 38 tahun.

“Akibat kejadian itu, mangsa dilaporkan tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Lahad Datu yang hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Rohan Shah berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, tiga lagi mangsa yang menaiki lori tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden itu.

“Kedua-dua pemandu dalam insiden ini tidak berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah namun sampel darah sudah diambil untuk dianalisa Jabatan Kimia Malaysia di Kota Kinabalu.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan mana-mana individu yang melihat kejadian ini diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.