SHAH ALAM: Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta di Jalan Kampung Melayu Subang awal pagi Ahad.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Daniel Aifiq memandu sebuah kereta jenis Honda Civic dipercayai menghala ke arah Bukit Jelutong ketika kejadian sebelum dipercayai terbabas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 4.16 pagi sebelum anggota dan pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 4.23 pagi.

"Kemalangan melibatkan sebuah kereta Honda Civic dipandu seorang lelaki berumur 22 tahun bersama seorang penumpang.

"Pemandu kereta didapati tersepit di bahagian pemandu manakala penumpang hanya mengalami kecederaan dihantar ke hospital sebelum bomba tiba di lokasi," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, pihaknya kemudiannya menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Mangsa dikeluarkan dengan menggunakan alat rescue tool.

"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.


*Berita asal di Sinar Harian