Lelaki maut kereta terhumban, terbalik dalam parit

Rudi Affendi Khalik
Oktober 27, 2019 02:18 MYT
Keadaan kereta yang terhumban ke dalam parit di Jalan Ling Kai Cheng dalam insiden yang meragut satu nyawa. -Foto JBPM
Seorang lelaki maut manakala anaknya terselamat selepas kereta yang dinaiki hilang kawalan sebelum terhumban ke dalam parit di Jalan Ling Kai Cheng, Sibu, di sini, pada Sabtu.
Pemangku Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata mangsa yang dikenal pasti sebagai Asri Rizal Rahim, 41, dipercayai lemas selepas gagal melepaskan diri akibat tersepit pada bahagian kaki.
"Ketika kejadian, keadaan kereta adalah terbalik manakala parit terbabit berair.
Insiden berlaku sekitar jam 10.40 malam dan pihak bomba menerima panggilan kecemasan 4 minit kemudian.
"Dua jentera kemudian diatur gerak ke lokasi dan setiba di sana, pasukan mendapati sebuah kereta jenis Honda Civic dalam keadaan terbalik di dalam parit dengan mangsa masih berada di dalamnya.
"Anggota kita kemudian menggunakan peralatan khas untuk menarik kenderaan ke tepi sebelum berjaya mengeluarkan mangsa," kata Ling Hii.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Hospital Sibu dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Tambah Ling Hii, anak mangsa yang berusia 9 tahun bagaimanapun berjaya diselamatkan orang awam sebelum dan dikejarkan ke Hospital Sibu menggunakan ambulans EMRS.
#Asri Rizal Rahim #Honda Civic #Hospital Sibu #Jalan Ling Kai Cheng #kereta hilang kawalan #terhumban ke dalam parit #Tiong Ling Hii