[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Lelaki maut ketika selenggara pencawang pada ketinggian 60 meter

Sinar Harian 15/04/2025 | 02:00 MYT
Seorang lelaki berusia 31 tahun meninggal dunia ketika sedang menyelenggara pencawang telekomunikasi pada ketinggian 60 meter di Tampin. Gambar kecil: Amiruddien. - Foto Sinar Harian
TAMPIN: Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia ketika sedang melakukan kerja menyelenggara menara pencawang telekomunikasi pada ketinggian 60 meter di Jalan Jelai-Pasir Besar di sini.
Mangsa berusia 31 tahun dikatakan sempat memaklumkan kepada rakan sekerjanya bahawa dia dalam keadaan penat dan berasa kebas di tangan serta tidak larat untuk turun dari pencawang tersebut, sebelum dilaporkan tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, Balai Polis Gemas menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian tersebut sekitar jam 7 malam, Isnin.
"Berdasarkan maklumat tersebut, pihak polis dan bomba telah ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki berada pada paras ketinggian 60 meter di atas pencawang tersebut.
"Bomba telah berusaha menyelamatkan mangsa dengan memberikan bantuan pernafasan dan mangsa berjaya dibawa turun pada jam 9.20 malam," katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak doktor dari Klinik Kesihatan Jelai sebelum mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat.
Katanya, semasa kejadian, mangsa sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan pencawang tersebut bersama rakan sekerjanya.
Ujar beliau, mangsa telah memanjat pencawang seorang diri, manakala rakannya masih berada di bawah pencawang.
"Kes disiasat sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) dan siasatan masih diteruskan bagi mengetahui punca kematian," katanya. - Sinar Harian
#kerja-kerja penyelenggaraan #menara pencawang telekomunikasi #Amiruddien Sariman #Tampin