[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

Lelaki maut langgar lori selepas hantar isteri ke tempat kerja

Sinar Harian 09/05/2025 | 10:00 MYT
Keadaan motosikal ditunggang mangsa yang maut selepas melanggar sebuah lori dalam kejadian Jalan Industri Zuhrah, Hulu Selangor pada Khamis. -Sinar Harian
HULU SELANGOR: Perjalanan pulang seorang lelaki selepas menghantar isterinya ke tempat kerja bertukar tragedi apabila motosikal ditunggangnya melanggar sebuah lori di Jalan Industri Zuhrah di sini pada Khamis.

Ringkasan AI
  • Seorang lelaki maut selepas motosikalnya melanggar sebuah lori di Jalan Industri Zuhrah, Hulu Selangor.
  • Kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Kuala Kubu Bharu menuju ke Bukit Beruntung, dan lori keluar dari simpang sebelah kiri.
  • Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.25 malam itu, mangsa berusia 39 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125ZR disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah dialami.
Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintenden Mohd Asri Mohd Yunus berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Kuala Kubu Bharu menuju ke Bukit Beruntung.
"Setibanya di lokasi kejadian, sebuah lori dipandu lelaki berusia 36 tahun dipercayai keluar dari simpang sebelah kiri dan masuk ke laluan mangsa yang sedang menuju ke Klang.
"Disebabkan jarak yang terlalu dekat, mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian hadapan sebelah kanan lori berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Katanya, kemalangan mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian.
"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.
"Pemandu lori yang tidak membawa muatan ketika kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan," katanya. -Sinar Harian
#motosikal langgar lori #Jalan Industri Zuhrah #Kuala Kubu Bharu #Bukit Beruntung