[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Lelaki maut langgar pokok tumbang

Sinar Harian 28/11/2025 | 03:00 MYT
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto Sinar Harian
JASIN: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar sebatang pokok tumbang di Jalan Selandar menghala ke Machap, di sini pada Jumaat.

Komander Operasi, PBK I (TBK I) Abdul Razak Taat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.57 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, didapati seorang lelaki berusia 49 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha NMAX telah melanggar pokok tersebut,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, pasukan bomba menjalankan kerja-kerja pemotongan pokok bagi memastikan laluan selamat dan tidak menghalang trafik.

Operasi disertai lapan anggota bomba dengan bantuan empat petugas KKM serta dua anggota polis.

Operasi dikawal sepenuhnya pada jam 7.49 pagi dan tiada masalah operasi dilaporkan. - Sinar Harian




#langgar pokok tumbang #penunggang motosikal maut #Jalan Selandar #meninggal dunia