NATIONAL

Lelaki maut, lori rempuh lori

Sinar Harian 14/05/2025 | 08:15 MYT
Keadaan lori mangsa yang merempuh belakang sebuah lori membawa muatan tong gas. -Foto ihsan polis
SEREMBAN: Seorang lelaki maut selepas lori dipandunya merempuh belakang sebuah lori membawa muatan gas di Kilometer 244.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, pada Rabu.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki berusia 56 tahun maut selepas lori dipandunya merempuh belakang lori muatan gas di Kilometer 244.8 Lebuhraya PLUS arah selatan pada awal pagi Rabu.
  • Siasatan awal mendapati mangsa mengekori terlalu rapat sebelum hilang kawalan dan melanggar lori di hadapan, menyebabkan kecederaan parah di kepala dan kematian di tempat kejadian.
  • Polis meminta saksi tampil membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Kejadian jam 6.10 pagi itu menyebabkan mangsa berusia 56 tahun meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kejadian melibatkan dua buah lori yang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori jenis Hino yang dipandu mangsa dipercayai mengekori rapat lori di hadapannya yang membawa muatan gas sebelum hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang lori tersebut.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat, manakala pemandu lori gas tidak cedera.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Syakinah Ahmad di talian 06-6033394 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. -Sinar Harian




#Akta Pengangkutan Jalan 1987 #rempuh belakang lori muatan gas #Lebuhraya Utara-Selatan #mengekori terlalu rapat