Lelaki maut MPV terbakar di Lebuhraya PLUS

Hakim Rahman
Februari 24, 2022 02:23 MYT
MPV yang terlibat dalam kemalangan dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik dan terbakar di Km 428 Lebuhraya Utara-Selatan awal pagi tadi. - Foto JBPM Selangor
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terbabas sebelum terbakar di Kilometer 428 Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran susur keluar Tol Bukit Tagar, hala selatan, awal pagi tadi.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, MPV itu dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik dan terbakar.
"Mangsa dikenali sebagai Hong Beng Aun, 46 tahun. Mayatnya berjaya dibawa keluar dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut ," katanya.
Norazam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 1.08 pagi dan mengerakkan sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa ke lokasi kejadian.
Bomba melakukan operasi pemadaman dengan anggaran kemusnahan kira-kira 90 peratus.
Operasi ditamatkan pada 4.15 pagi.
#MPV #Bukit Tagar #kereta terbakar #Lebuhraya Utara Selatan