NATIONAL
Lelaki maut pacuan empat roda dirempuh treler
Pasukan bomba mengeluarkan mangsa tersepit dalam pacuan empat roda selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Minangkop, Tamparuli, Tuaran. -Sinar Harian
TUARAN: Seorang lelaki maut selepas pacuan empat roda dirempuh sebuah treler dalam kejadian di Kampung Minangkop, Tamparuli, di sini pada Isnin.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki maut selepas pacuan empat roda dirempuh treler di Kampung Minangkop, Tamparuli.
- Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa tersepit dengan bantuan trak tunda, namun mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
- Operasi melibatkan sembilan anggota bomba ditamatkan pada jam 1.20 tengah hari.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa berusia 43 tahun parah akibat tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.27 pagi.
"Kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu treler yang merempuh pacuan empat roda jenis Toyota Hilux lalu terlanggar tiang elektrik.
"Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa tersepit dengan bantuan daripada trak tunda dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi membabitkan seramai sembilan anggota ditamatkan jam 1.20 tengah hari," katanya. -Sinar Harian