MALAYSIA

Lelaki maut selepas terjatuh ketika pungut bola pickleball

Umavathi Ramayah 03/12/2025 | 10:06 MYT
Mohamad Lazim berkata, kejadian pukul 9.43 malam itu berlaku ketika cuba memungut bola yang dipercayai terjatuh di luar kawasan gelanggang. - Gambar Threads/Party Prince
KUALA LUMPUR : Seorang lelaki berusia 32 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah pusat sukan pickleball di Pudu, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, kejadian pada pukul 9.43 malam (Selasa) berlaku ketika mangsa yang sedang bermain pickleball cuba memungut bola yang terjatuh di luar gelanggang.

"Mangsa dipercayai cuba memanjat pagar bersebelahan gelanggang untuk mengambil bola sebelum terjatuh ke tingkat bawah," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Mohamad Lazim berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), ujarnya.

Sementara itu, Malaysia Pickleball Community (MPC) dalam satu kemas kini di laman Facebooknya pada Rabu, turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

MPC turut menyeru agar masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden itu dan memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan.





#pickleball #Polis Diraja Malaysia