NATIONAL
Lelaki maut terjatuh dalam perigi sedalam tiga meter
Pasukan penyelamat membawa naik mangsa menggunakan sistem tali. - Gambar ihsan JBPM Perak
KAMPAR: Seorang lelaki berusia 57 tahun maut setelah dipercayai terjatuh ke dalam sebuah perigi sedalam tiga meter ketika sedang mandi di Kampung Nyior, Batu 19, di sini, awal pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.52 pagi.
Katanya, seramai tujuh orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba jam 8.02 pagi.
"Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati seorang mangsa telah terjatuh ke dalam perigi sedalam tiga meter.
"Ketua operasi terima maklumat daripada anak mangsa bahawa dia terjatuh pada waktu subuh tadi, ketika sedang mandi," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.
Justeru, katanya, pasukan penyelamat membawa naik mangsa menggunakan sistem tali.
"Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya lagi.