Lelaki maut terjatuh dari roda Ferris

Hilmi Malik
November 11, 2021 11:58 MYT
Kejadian bagaimanapun tiada sebarang kaitan dengan unsur jenayah kata Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Nasir Drahman. - Gambar PDRM
KUALA LUMPUR : Seorang pengunjung lelaki maut setelah terjatuh dari roda Ferris melibatkan tapak 'fun fair’ di Cheras Selatan pada lewat malam Rabu.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Nasir Drahman, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang individu yang merupakan pemilik ‘fun fair’ berkenaan.
"Saksi memaklumkan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun jatuh dari buaian permainan 'fun fair' dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak ambulan dari Hospital Kajang.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat manakala seorang lagi mangsa juga lelaki tempatan yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Bagaimanapun, Mohd Nasir menyatakan kejadian pada jam 12.05 tengah malam itu bagaimanapun tidak mempunyai sebarang unsur jenayah.
Polis turut menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk meneliti sama ada wujudnya kecuaian dalam kalangan pemilik tapak ‘fun fair' tersebut.
Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan.
#Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia #Roda Ferris #lelaki maut terjatuh dari roda Ferris #tapak 'fun fair'