Lelaki maut terjun tingkat 17 lepas tikam isteri - Polis

Hasimi Muhamad
Januari 6, 2024 13:15 MYT
Ashari berkata insiden berlaku selepas pasangan suami isteri itu dilapor bergaduh sekitar jam 11.15 pagi dipercayai akibat selisih faham. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Indonesia ditemukan maut, dipercayai terjun dari tingkat 17 di sebuah kondominium di Setapak, pada Sabtu, selepas menikam isterinya.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, insiden berlaku selepas pasangan suami isteri itu dilapor bergaduh kira-kira jam 11.15 pagi dipercayai akibat selisih faham.
Ketika pergaduhan berlaku, beliau berkata suspek lelaki berusia 44 tahun itu bertindak menikam isterinya, 37, di bahagian dada.
"Setelah itu suspek lari ke arah balkoni dan dipercayai terjun dari tingkat 17.
"Suspek ditemui mati berhampiran kolam renang tingkat bawah," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Ashari menambah, mangsa yang cedera akibat ditikam senjata tajam dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan dan berada dalam keadaan stabil.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.
#Superintendan Ashari Abu Samah #warga Indonesia #tikam isteri #senjata tajam