Lelaki maut tersepit, kereta terbabas di lebuh raya WCE

Aida Aziz
April 14, 2024 10:31 MYT
Mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan. - Foto JBPM
TAIPING: Seorang lelaki berusia 25 tahun maut setelah kereta jenis Proton Waja yang dipandunya terbabas di bahu jalan dekat KM 254 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), arah selatan, di sini hari ini.
Menurut Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kejadian berlaku sekitar jam 12.58 tengah hari.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Trong kemudiannya digerakkan ke lokasi kejadian.
"Didapati sebuah kereta terbabas di bahu jalan dan seorang mangsa lelaki tersepit di bahagian tempat pemandu.
"Komander operasi membuat size up dan mengarahkan anggota menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa.
"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi.
"Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selajutnya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Operasi yang diketuai PBK II Nizam Abdul Manaf itu membabitkan seramai enam orang anggota dan tamat pada jam 2.30 petang.
#lelaki maut #kereta terbabas #Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat #Lebuh raya WCE #bomba perak