KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang tular di media sosial kerana memandu secara melawan arus di Jalan Klang Lama semalam, selepas menyerah diri di Pejabat Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur malam tadi.
Ketua JSPT Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata suspek berusia 32 tahun itu hadir ke pejabat JSPT pada 8.35 malam selepas polis gagal mengesannya di beberapa alamat kediaman termasuk rumah keluarganya.
Advertisement
Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati lelaki warga tempatan itu memandu secara melawan arus sejauh kira-kira 500 meter kerana tersalah jalan ketika menghala ke pusat beli-belah Mid Valley.
“Ujian saringan pernafasan (EBA) dan ujian air kencing telah dijalankan ke atas suspek dan keputusannya adalah negatif bagi kedua-dua ujian itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zamzuri berkata suspek akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta pada 9 pagi ini mengikut seksyen sama.
Semalam, tular video memaparkan sebuah kenderaan dipandu secara melawan arus dari persimpangan Jalan Klang Lama/Jalan Sepadu sehingga ke persimpangan Jalan Kuchai Lama yang membahayakan pengguna jalan raya lain.
Pihak JSPT Kuala Lumpur mengesan video berkenaan pada 11.38 pagi sebelum melancarkan usaha mengesan pemandu terbabit.
-- BERNAMA