PASIR MAS: Penahanan seorang lelaki di tepi jalan Kampung Gual Pasong Hantu, Rantau Panjang di sini membawa kepada rampasan pil yaba bernilai RM4,000 pada tengah malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kesemua pil yaba berjumlah 400 biji itu ditemui berada dalam bungkusan plastik yang digenggam oleh suspek hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas tubuh badan lelaki berkenaan.

"Hasil soal siasat yang dilakukan, suspek berusia 22 itu mengaku dadah yang dijumpai adalah miliknya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurutnya, suspek turut mengaku bekalan pil yaba berkenaan diperoleh daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Pok Ka.

Beliau berkata, operasi mengesan suspek sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan lanjut berkaitan dengan rampasan pil yaba itu.

Mohd Nasaruddin berkata, saringan air kencing yang dilakukan mendapati suspek negatif dadah.

"Bagaimanapun suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Kejayaan rampasan ini adalah hasil maklumat berkait dadah yang diperoleh oleh pihak polis dan kemudian membawa kepada penangkapan suspek," katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.


*Berita asal di Sinar Harian