Lelaki miliki haiwan dilindungi ditahan kerana cuba sogok pegawai kerajaan

Junaidi Ladjana
Mac 26, 2021 11:41 MYT
Sumber berkata, suspek berusia 50-an yang bekerja sendiri ditahan di pejabat SPRM Sabah, jam 5.30 petang.
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang lelaki kerana cuba memberi rasuah sebanyak RM5,000 kepada seorang pegawai kerajaan negeri, semalam.
Sumber berkata, suspek berusia 50-an yang bekerja sendiri ditahan di pejabat SPRM Sabah, jam 5.30 petang.
"Suspek ditahan kerana memberi rasuah sebanyak RM5,000 kepada seorang pegawai kerajaan negeri sebagai dorongan untuk meringankan pertuduhan tertuduh atas kesalahan menyimpan pelbagai haiwan dilindungi.
"Antara haiwan itu adalah beruang madu, burung punai, landak, helang, ular sawa, burung tiong, babi hutan dan lain-lain," katanya.
Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Katanya, suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM8,000 dengan dua penjamin tempatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM (ASPRM) 2009," katanya.
#sprm sabah #lelaki beri rasuah #kesalahan haiwan dilindungi #SPRM #Sabah #S Karunanithy #Pengarah SPRM Sabah