Lelaki Myanmar maut, dipercayai dibunuh dalam pergaduhan di kebun sayur

Aida Aziz
April 5, 2021 15:31 MYT
Polis menerima laporan jam 9.56 pagi daripada pemilik kebun sayur yang menemui mayat berlumuran darah. - Gambar hiasan
KAMPAR: Seorang lelaki Myanmar berusia lingkungan 30 tahun ditemui maut, dipercayai dibunuh dalam pergaduhan di Kebun Sayur Ayer Hitam Labu, Tronoh Mines di sini, pada Isnin.
Menurut Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim, pihaknya menerima laporan jam 9.56 pagi daripada pemilik kebun sayur yang menemui mayat disyaki pekerjanya dalam keadaan berlumuran darah .
Katanya, mayat mangsa dijumpai kira-kira 20 meter dari pondok yang digunakan sebagai rumah kongsi.
Bagaimanapun pemeriksaan di pondok berkenaan tidak menemui apa-apa pengenalan diri mangsa, katanya.
"Siasatan awal di tempat kejadian menemui tubuh lelaki tanpa baju dan berseluar pendek berwarna hijau dalam keadaan terlentang.
"Pemeriksaan fizikal mangsa mendapati terdapat beberapa kesan hentakan objek tumpul di kepala dan koyakan di bahagian muka," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Jelasnya lagi, turut ditemui sebilah tukul besi yang terdapat kesan darah, sebilah parang berukuran 60 sentimeter dan botol atau tin minuman keras berhampiran mayat mangsa.
"Berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berpunca dari pergaduhan di antara mangsa dan suspek yang dalam keadaan mabuk.
"Suspek dipercayai menggunakan tukul besi yang dijumpai di tempat kejadian sebagai senjata untuk memukul bahagian kepala mangsa," katanya.
Susulan itu, beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis membuat tangkapan seorang suspek lelaki di Stesen Bas Kampar Putra di sini pada kira-kira jam 3.30 petang.
"Polis mengenal pasti empat suspek utama kesemuanya adalah warga negara Myanmar, yang mana seorang adalah rakan sekerja mangsa manakala tiga lagi rakan dari luar," katanya.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan tindakan mengesan semua suspek yang masih bebas sedang dijalankan.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk bedah siasat pada kira-kira jam 10 pagi esok untuk mengenal pasti punca kematian.
#bunuh #pekerja kebun sayur #Myanmar #dibunuh #Tronoh #Kampar #Hasron Nazri Hashim