[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
NATIONAL

Lelaki Nigeria bawa pisau pemotong daging dalam poket seluar

Sinar Harian 26/04/2025 | 04:00 MYT
Jafri Embok mendapatkan maklumat lanjut daripada warga Nigeria yang ditahan bersama senjata pisau di dalam poket seluarnya. -Sinar Harian
NILAI: Pergerakan mencurigakan seorang lelaki warga Nigeria di kawasan Desa Palma di sini pada Khamis telah membawa kepada penemuan dua bilah pisau termasuk pisau pemotong daging di dalam poket seluarnya.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki warga Nigeria ditahan di Desa Palma dengan dua bilah pisau dalam poket seluarnya, mendakwa pisau tersebut untuk mencari serai.
  • Operasi bersepadu oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan menahan 49 warga asing daripada 260 yang diperiksa, kebanyakan tanpa dokumen sah.
  • Operasi penguatkuasaan akan diteruskan untuk mengesan dan mengusir warga asing yang melanggar undang-undang, dengan amaran kepada orang ramai dan majikan agar tidak melindungi pendatang tanpa izin.


Lelaki berusia lingkungan 20-an itu yang diperiksa pegawai Jabatan Imigresen Malaysia(JIM) Negeri Sembilan mendakwa pisau terbabit dibawanya untuk mencari serai di kawasan sekitar.

Lebih mencurigakan apabila dia memberitahu bukannya tinggal di situ, sebaliknya di kawasan Nilai Spring, selain tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang dibawa.

Timbalan Ketua Pengarah(Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, lelaki itu antara 49 warga asing yang ditahan daripada 260 yang diperiksa dalam operasi bersepadu di kawasan berkenaan bermula jam 8.30 malam.

"Apabila diperiksa kita dapati ada senjata tajam bersamanya dan tiada pengenalan diri dibawa.

"Dia telah ditahan untuk siasatan selanjutnya dan turut mendakwa bekerja di sebuah restoran," katanya ditemui pemberita selepas operasi pada malam Khamis.

Turut hadir, Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kenneth Tan Ai Kiang.

Menurut Jafri, secara keseluruhan warga asing ditahan berusia 20 hingga 60 tahun terdiri daripada warga Myanmar (14), India (9), Bangladesh (7), Indonesia (6), Pakistan (5), Nepal (4) dan Nigeria serta Yaman (2).

Tambahnya, antara kesalahan dilakukan adalah tidak mempunyai sebarang pas dan dokumen perjalanan yang sah serta tinggal lebih masa di negara ini.

"Serbuan dilakukan di lokasi ini kerana kita menerima aduan ketidakselesaan awam dengan kehadiran ramai warga asing di sini.

"Kebanyakan rumah dihuni warga asing dari pelbagai negara dan terdapat juga segelintir warga asing yang sudah berkahwin dengan warga tempatan yang membuka premis perniagaan sini atas nama pasangan," katanya.

Jelas beliau, terdapat juga pemilik rumah warga tempatan yang menyewakan kediaman mereka kepada warga asing menyebabkan berlaku lambakan warga asing di kawasan ini.

Bagaimanapun katanya, apabila pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati kebanyakan daripada mereka mempunyai dokumen yang sah untuk berada di negara ini.

"Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa serta mengusir warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.

"Orang ramai dan majikan juga diingatkan tidak melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang yang sewajarnya," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, operasi berkenaan melibatkan seramai 186 anggota termasuk dari Bahagian Operasi Jabatan Imigresen Putrajaya, Pasukan Taktikal Khas, Jabatan Imigresen Melaka, Jabatan Tenaga Kerja dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. -Sinar Harian




#warga asing #lelaki warga Nigeria #Desa Palma #pisau dalam poket seluar