MALAYSIA

Lelaki OKU maut motosikal terbabas ke longkang di Seri Iskandar

Bernama 09/08/2025 | 21:30 MYT
Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) maut selepas motosikal jenis roda tiga yang ditunggangnya terbabas ke dalam longkang di Pekan Lambor Kanan, Seri Iskandar, malam tadi. - Gambar JBPM Perak
IPOH: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) maut selepas motosikal jenis roda tiga yang ditunggangnya terbabas ke dalam longkang di Pekan Lambor Kanan, Seri Iskandar, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarozi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian yang membabitkan mangsa berusia 63 tahun itu pada 8.03 malam.

"Kemalangan berkenaan melibatkan sebuah motosikal roda tiga jenis Honda EX-5 yang terbabas ke dalam longkang serta terdapat seorang mangsa lelaki OKU berumur 63 tahun telah ditimpa oleh motosikal tersebut.

"Mangsa telah disahkan maut di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM). Ketua Operasi melaksanakan penilaian awal (size-up) seterusnya mengaplikasikan Konsep SAVER dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja penyelamatan," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, pihak bomba berjaya mengeluarkan mangsa daripada longkang seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada 9.50 malam.

-- BERNAMA



#kemalangan #lelaki OKU maut #motosikal terbabas #Seri Iskandar