MALAYSIA

Lelaki OKU mental ditemukan lemas di Bachok

Bernama 25/09/2025 | 13:00 MYT
Mayat lelaki yang dipercayai mengalami masalah mental ditemukan lemas selepas terjatuh dari benteng penahan ombak di Pantai Kemayang, Bachok. - Gambar Sinar Harian
KOTA BHARU: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) kategori mental berusia 38 tahun ditemukan lemas di pantai berhampiran Tawang, di Bachok hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok Ibrahim Mohd Rohni berkata mangsa dikenali sebagai Abdul Halim Ibrahim disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kami menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 11.54 pagi setelah maklumat diterima melalui talian kecemasan memaklumkan seorang lelaki dipercayai lemas di Pantai D'Impiana Sofea, di sini," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata setibanya bomba di lokasi pada 12.37 tengah hari, pasukan membuat penilaian awal dan mendapati mangsa telah ditemui oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba.

Ibrahim berkata mangsa dilaporkan bertindak agresif sebelum masuk ke laut dan gagal diselamatkan oleh orang awam yang berada berhampiran.

"Mangsa kemudian dibawa naik ke darat oleh orang awam dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Tujuh anggota BBP Bachok bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender terlibat dalam operasi yang tamat sepenuhnya pada 1.03 tengah hari tadi," katanya.

-- BERNAMA


#Fire Rescue Tender #OKU mental #orang awam #meninggal dunia