Lelaki Orang Asli dilapor hilang ditemukan telah meninggal dunia

Norfarhiza Mohd Atar
Julai 20, 2023 11:58 MYT
Mayat mangsa yang hanya tinggal rangka dan sedikit daging di bahagian punggung di bawa ke Unit Forensik Hospital Lipis untuk proses bedah siasat. - Foto PDRM Lipis
LIPIS: Seorang lelaki warga emas Orang Asli dari Kampung Chekai, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau, di sini yang dilaporkan hilang sejak 9 Julai lalu ditemukan telah meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Azli Mohd Noor berkata, mayat Bah Mail Pak Gendet, 76, ditemukan kira-kira jam 1.05 tengah hari tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 10 kilometer dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
"Pengecaman oleh anak mangsa melalui cincin, baju, parang dan serangkai kunci rumah yang ditemui di tempat kejadian.
"Mayat mangsa yang hanya tinggal rangka dan sedikit daging di bahagian punggung di bawa ke Unit Forensik Hospital Lipis untuk proses bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Beliau berkata, susulan itu operasi SAR yang disertai oleh pasukan polis, bomba dan penduduk kampung ditutup sepenuhnya pada jam 6 petang tadi.
Bah Mail sebelum ini dipercayai keluar dari rumahnya untuk mencari hasil hutan namun tidak pulang sejak itu.
#lelaki Orang asli #dilapor hilang #meninggal dunia #polis Lipis