SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Pakistan kekal dihukum penjara 12 tahun berhubung kes merogol kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, yang dilacurkan bapanya.

Yousaf Gul, 39, turut dikekalkan lima sebatan, kaunseling pemulihan ketika menjalani pemenjaraan dan pengawasan polis selama tiga tahun setelah selesai menjalani hukuman terbabit.

Ia selepas Mahkamah Tinggi di sini, mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen, Putrajaya yang menjatuhi pesalah ini selepas menukar pengakuan kepada bersalah, pada prosiding lepas.

Menerusi alasan penghakiman yang dimuat naik menerusi sistem pengurusan e-kehakiman, bertarikh 1 April lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Roszianayati Ahmad berkata, tiada keperluan untuk Mahkamah Tinggi mengusik dapatan dan keputusan Mahkamah Sesyen.

Roszianayati berkata, pengakuan salah perayu adalah betul dan selamat.

“Saya juga meneliti nota keterangan, yang jelas menunjukkan bahawa tertuduh antara orang yang merogol mangsa.

“Keterangan menunjukkan mangsa dilacurkan oleh bapanya yang juga saksi dalam kes ini malah mangsa sendiri telah mengecamkan perayu sebagai orang yang merogolnya,” kata hakim.

Beliau berkata, susulan itu, mahkamah telah meneliti alasan penghakiman mahkamah rendah dalam mempertimbangkan hukuman terhadap Yousaf selaku perayu.

Katanya, mahkamah mendapati ia berada dalam ruang lingkup prinsip undang-undang penghukuman.

Menurutnya, mahkamah sesyen mempertimbangkan semua faktor untuk mencapai kepada suatu hukuman yang setimpal maka hukuman dan perintah yang diberikan bukan suatu yang melampau.

Mengikut pertuduhan, Yousaf didakwa merogol kanak-kanak berkenaan di sebuah kondominium di Batu 9 Cheras, Hulu Langat, pada November 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (2)(d) kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. - Sinar Harian